Friday, November 13, 2009

KESEDERHANAAN DALAM BERIBADAH

حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ أَبِي مَرْيَمَ أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ أَخْبَرَنَا حُمَيْدُ بْنُ أَبِي حُمَيْدٍ الطَّوِيلُ أَنَّهُ سَمِعَ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ
جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Terjemahan Hadis:
Berkata Imam Bukhari: Sa`id bin Abi Maryam bercerita kepada kami: Muhammad bin Ja`far memberitahu kami: Humayd bin Abi Humayd Tawil (yang tinggi) memberitahu kami bahawa beliau mendengar Anas bin Malik radiyallahu `anhu berkata:

“Tiga orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi saw bertanyakan tentang ibadah Nabi saw. Apa mereka diberitahu mereka bagaikan menganggapnya sedikit. Lantaran itu mereka berkata: “Di manakah kita berbanding Nabi saw sedangkan telah diampunkan untuk baginda dosa-dosa terdahulu dan terkemudiannya”. Berkata salah seorang mereka: “Adapun saya pasti akan mengerjakan solat sepenuh waktu malam selama-lamanya”. Berkata pula yang lain: “Saya akan berpuasa setahun penuh tanpa berbuka”. Berkata lagi seorang lagi: “Saya pula akan mengasingkan diri daripada wanita-wanita dan tidak berkahwin selama-lamanya”. Baginda saw lalu datang menemui mereka lantas bertanya: “Kamukah yang berkata demikian-demikian? Adapun saya demi Allah merupakan orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di kalangan kamu tetapi saya berpuasa dan berbuka, saya solat dan tidur dan saya mengahwini wanita-wanita. Oleh itu sesiapa yang bencikan sunnahku maka dia bukan di kalanganku.”[1]
Huraian Hadis
Hadis ini memberi pengajaran penting tentang kesederhanaan dalam beribadah. Ibadah bermaksud perhambaan diri kepada Allah subhanahu wa Ta`ala. Perhambaan ini diterjemahkan menerusi kepatuhan dan ketaatan yang mutlaq terhadap segala perintah dan larangan Allah. Manusia dan Jin sememangnya dicipta untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya sebagaimana firman Allah:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
[2]
Maksudnya: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah memperhambakan diri kepadaKu.”
Ibadah terbahagi kepada dua:
Pertama, ibadah khusus seperti ibadah solat, puasa, zakat, haji, berzikir dan membaca al-Qur’an. Ibadah ini dilakukan oleh seorang hamba semata-mata kerana ianya merupakan perintah Allah samada perintah wajib atau sunat untuk membuktikan ketundukan dan kepatuhannya kepada Allah.
Ibadah khusus ini merupakan amalan peribadi yang dilakukan oleh seorang hamba samada secara bersendiri atau melibatkan masyarakat bagi membentuk jiwa yang bersih dan perasaan yang tenang kerana hakikat ketenangan akan tercapai apabila manusia menghubungkan dirinya dengan TuhanNya. Allah berfirman:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ [3]
Maksudnya: “ketahuilah dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”
Mengingati Allah berlaku antaranya apabila seseorang melakukan ibadah-ibadah ritual yang khusus seperti ini.
Kedua, ibadah umum. Ia melibatkan perhambaan diri manusia kepada Allah dalam perlakuan harian seseorang pada setiap detik dan saat kehidupan yang dilaluinya sejak baligh hingga ke nafas yang terakhir. Perhambaan ini diterjemahkan menerusi ketaatan dan kepatuhan seseorang terhadap garis panduan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dalam perlakuan hariannya.
Seorang yang berniaga barang-barang yang halal dan tidak menipu dalam aktiviti perniagaannya telah beribadah dalam perniagaannya. Begitulah juga seorang yang amanah dan jujur dalam melakukan tangungjawab pekerjaannya yang halal telah beribadah dalam pekerjaannya itu. Seorang yang berkahwin kerana ia merupakan tuntutan beragama dan mengikut lunas peraturan perkahwinan yang digariskan oleh Islam juga beribadah dalam perkahwinannya. Inilah yang dikatakan ibadah umum.
Hadis di atas menjurus kepada perbahasan tentang ibadah yang khusus seperti solat dan puasa dan juga ibadah umum seperti perkahwinan. Beberapa orang sahabat cuba berusaha memahami perjalanan ibadah dan kehidupan seharian Nabi saw. Lantaran itu mereka menemui beberapa orang isteri nabi saw bertanyakan perkara tersebut.
Malangnya apabila dimaklumkan tentang ibadah harian nabi, mereka merasakan ibadah baginda itu sedikit. Namun, bagi mereka sedikitnya ibadah Nabi itu bertepatan dengan keadaan Nabi saw yang telah diampunkan dosanya oleh Allah samada yang terdahulu atau yang terkemudian. Ia tidak wajar dibandingkan dengan diri mereka sebagai manusia biasa. Justeru, mereka perlu melipat-gandakan lagi ibadah melebihi ibadah nabi saw. Inilah pemikiran lojik mereka.
Rentetan itu mereka berazam untuk melakukan ibadah secara berlebih-lebihan. Seorangnya berhasrat untuk mengerjakan solat malam tanpa tidur. Seorang lagi pula ingin berpuasa tanpa berbuka. Yang ketiga pula tidak mahu berkahwin agar tidak terganggu ibadahnya.
Apabila keazaman mereka diketahui oleh nabi saw, baginda segera menegur tindakan mereka. Alasan baginda ialah baginda juga solat malam dan tidur. Baginda berpuasa dan berbuka. Baginda juga mengahwini perempuan. Semua perlakuan Nabi itulah adalah sunnah yang mesti diikuti oleh umatnya kerana baginda diutuskan sebagai pembimbing manusia dalam segenap lapangan kehidupan. Sesiapa yang membenci sunnah hidup yang dirintis oleh nabi saw tersebut tidak akan diiktiraf sebagai umatnya.
Sunnah Nabi ini menggambarkan kesederhanaan dalam beribadah. Sikap berlebih-lebihan dalam beribadah ditolak kerana di satu peringkat ia boleh membawa kepada kebosanan. Kebosanan itu nanti menjadi pendorong untuk amalan tersebut ditinggalkan secara total. Kebosanan ini akan berlaku kerana ia bercanggah dengan fitrah jiwa dan kemampuan fizikal manusia itu sendiri.
Untuk menepati fitrah dan kemampuan manusia dalam beribadah baginda menganjurkan sikap “berdikit tetapi tetap dan berterusan”. Ini diterangkan oleh `Aisyah apabila ditanya tentang amalan yang paling disukai oleh Nabi. Beliau menegaskan: “amalan yang berterusan.”[4]
Menurut Ibn Battal, hadis di atas mengandungi pengajaran agar mencontohi ibadah tokoh-tokoh ummat, mengkaji keadaan dan perjalanan hidup mereka sepanjang malam dan siang dan tidak wajar bertindak melampaui cara ibadah orang-orang yang telah disediakan oleh Allah sebagai contoh bagi ummat dalam beragama dan beribadah. Sesiapa yang ingin melebihi perjalanan hidup mereka maka dia adalah perosak kerana mengambil sikap pertengahan dan bersederhana dalam beribadah adalah lebih baik agar nanti tidak terasa lemah untuk melakukan sesuatu ibadah serta tidak terputus melakukannya. Ini bersandarkan hadis Nabi saw:

خير العمل ما دام عليه صاحبه وإن قل[5]
Maksudnya: “Sebaik-baik amalan ialah yang berkekalan dilakukan oleh pelakunya meskipun sedikit.”[6]

Nabi saw merupakan orang yang lebih tahu kebaikan sesuatu amalan. Justeru, dalam beribadah perlulah dicontohi orang yang lebih tahu. Apabila Nabi saw bersederhana dalam beribadah dengan mengambil kira keperluan tidur di samping solat malam, keperluan berbuka apabila berpuasa dan keperluan berkahwin di samping beribadah, maka perlakuan baginda itulah yang terbaik.
Menurut Ibn Hajar al-`Asqalani, Nabi saw menggabungkan antara dua kekuatan iaitu kekuatan ilmu dan kekuatan amalan. Ini dapat difahami apabila baginda menyatakan dalam sebuah hadis tatkala membetulkan tindakan beberapa Sahabat yang bertindak membenci sesuatu tindakan yang telah dilakukan oleh Nabi sebagai satu kelonggaran untuk orang ramai[7]:

إِنِّي لَأَعْلَمُهُمْ بِاللَّهِ وَأَشَدُّهُمْ لَهُ خَشْيَةً [8]

Maksudnya: “Sesungguhnya saya adalah orang yang paling mengetahui tentang Allah dan paling takut kepada Allah berbanding mereka.”
Sikap melampau dalam beribadah lahir kerana kejahilan tentang aturcara beribadah. Justeru itu orang yang ingin beribadah perlu menggabungkan kekuatan ilmu dan kekuatan amal. Kekuatan ilmu menjadi benteng agar segala amalan bertepatan dengan syariat. Kekuatan amal pula sebagai jaminan untuk meneruskan amalan secara berterusan. Amat tidak wajar sekali beribadah tanpa ilmu. Juga amat tidak wajar berilmu tanpa beramal.
Bayangkan seorang yang memasuki masjid di kala kuliah ilmu sedang disampaikan oleh seorang guru agama. Akibat kejahilan, barangkali si lelaki ini menyibukkan dirinya sebaik masuk dengan pelbagai solat sunat atau dengan membaca al-Qur’an tanpa mengendahkan majlis ilmu sehingga ianya berakhir. Sekiranya lelaki ini mempunyai ilmu tentu dia tahu bahawa sewajarnya dia mengerjakan solat tahiyyatul masjid yang ringan sebaik masuk ke masjid, seterusnya mengikuti kuliah ilmu. Menuntut ilmu di kala itu lebih utama daripada pelbagai ibadat yang dilakukannya tadi.

No comments:

Post a Comment

Alifia Ikutan Nari katanya